Kerajaan masih dalam peringkat konsultasi dengan pelbagai pemegang taruh bagi memastikan semua pandangan diambil kira dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kesaksamaan Gender.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pengwujudan akta tersebut dilihat amat perlu bagi mengimbangi peranan lelaki dan wanita di dalam pembangunan negara.

Selain mengadakan Bengkel Penggubalan RUU Kesaksamaan Gender, Rohani menjelaskan pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan jabatan dan agensi kerajaan, pihak badan bukan kerajaan (NGO) serta Causus Wanita Parlimen Malaysia.

"Cadangan untuk menggubal RUU tersebut adalah selaras dengan komitmen dan keahlian Malaysia dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

"Undang-undang ini akan membantu menghapuskan diskriminasi dan menegakkan kesaksamaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Penggubalan akta ini dijangka dapat merapatkan ketidaksamaan gender yang wujud antara wanita dan lelaki dengan memasukkan prinsip-prinsip CEDAW ke dalam undang-undang di Malaysia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang meminta KPWKM menyatakan sejauh manakah perkembangan dan tindakan Kementerian dalam menggubal RUU Kesaksamaan Gender.

Menurutnya lagi, fenomena seperti penglibatan yang rendah dalam kalangan wanita di peringkat kepimpinan, stereotaip dan pengasingan pekerjaan dalam bidang professional, gaji yang tidak seimbang dan sebagainya dapat ditangani dengan penggubalan akta ini.